DARI PENA PENGARAH
Ubat Hati
Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA: “ Sesungguhnya ubat
hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima
perkara tersebut. Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi
kandunganya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau
berpuasa. Ketiga, bangun ( beribadat ) di waktu malam. Keempat,
menghampirkan diri kepada Allah ( beribadat ) disepertiga malam dan
yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang
yang soleh ”.
Sesungguhnya
manusia diciptakan oleh Allah dengan sebaik-baik penciptaan.
Bermulanya dengan setitik air yang hina sehinggalah bergelar seorang
insan bernama manusia. Diberikan pula berbagai-bagai nikmat yang tak
ternilai banyaknya tanpa mengira siapa kita. Namun, kita sering
lalai dan lupa untuk mensyukuri di atas anugerah yang dikurniakan,
bahkan kita masih lagi berlumba-lumba mengejar kemewahan yang
bersifat sementara itu.
Nikmat yang paling berharga dikurniakan kepada manusia ialah nikmat
hati, yang merupakan raja segala gerak-geri dan tingkah-laku yang
dipertontonkan oleh manusia. Hati yang diciptakan Allah
semulia-mulia kejadian, di situlah akal manusia, di situlah buruk,
baik, sihat, lemah manusia, di situlah segala-galanya.
Benarlah apa yang diucapkan oleh Rasulullah SAW: “ Sesungguhnya di
dalam diri manusia itu ada seketul daging, jika sekiranya baik
daging itu, maka baiklah seluruh diri manusia itu. Jika sekiranya
buruk daging itu, maka buruklah seluruh diri manusia itu. Ketahuilah,
bahawa ia adalah hati ”.
Hatilah punca segala-galanya. Jika tidak berpunca dari hati yang
kotor, manusia tidak akan melakukan maksiat terhadap penciptanya.
Namun, kita sentiasa tidak menghiraukan gelagat hati kita. Kita
sering biarkan hati kita dikotori titik-titik hitam dan dihinggapi
berbagai-bagai penyakit yang menjijikan. Lantas, hasilnya segala
gerak-geri yang dipertontonkan melencong dari jalan yang dikehendaki
Allah SWT.“
Al-Quran
yang diturunkan kepada kita melalui insan agung SAW merupakan
mukjizat yang tidak ada tolak bandingnya, bahkan ia juga sebagai
ubat bagi mengubati hati yang berpenyakit. Dengan kita melazimi
membacanya dan mentadabbur apa yang terkandung di dalamnya, akan
memperolehi ketenangan hati yang akan menyebabkan hati sentiasa
tidak lalai mengingati Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“ketahuilah, dengan mengingati Allah itu, hati akan tenang”.
Begitu juga dengan mengosongkan perut dari terlalu kenyang akan
mengubati segala penyakit yang tersemat dihati kerana dengannya hati
akan beroleh kerehatan dan meringankan untuk melakukan ibadat kepada
Allah SWT serta menjauhkan dari segala penyakit yang memudaratkan.
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barangsiapa yang sedikit makannya,
sihatlah perutnya dan bersihlah hatinya. Barangsiapa yang banyak
makannya, maka sakitlah perutnya dan keraslah hatinya”.
Sabda
Rasulullah SAW lagi: “ janganlah kamu matikan hati kamu dengan
membanyakan makan dan minum, sesungguhnya hati itu seumpama
tumbuh-tumbuhan, jika banyak disirami air maka ia akan mati ”.
Seterusnya, diantara ubat bagi mengubati hati ialah dengan sentiasa
bagun malam beribadat kepada Allah SWT kerana dengannya akan
menjauhkan diri kita dari tipu daya syaitan dan menjauhkan dari
melakukan dosa serta mendapat keredhoan dari Allah SWT. Rasulullah
SAW sentiasa mengingati ummatnya: “ hendaklah kamu bangun malam (
beribadat ) walaupun hanya mengerjakan satu rakaat sembahyang ”.
Oleh
itu, bagi memastikan hati kita dalam keadaan sentiasa bersih dari
segala penyakit, hendaklah kita melazimi dengan membanyakan
beribadat kepada Allah disepertiga malam kerana waktu itulah Allah
SWT turun ke langit dunia bagi melihat siapa diantara hambanya yang
berjaga malam, beribadat kepadanya.
Begitu juga, hati akan terubat dari segala penyakit dengan sentiasa
bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh. Ini akan
menyebabkan sedikit sebanyak akan terikut dengan tingkah laku,
perbuatan dan percakapan mereka yang sentiasa mengingati Allah SWT.
Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda: “ Berkata Luqman
Al-Hakim kepada anaknya, wahai anakku, sentiasalah kamu berada dalam
majlis alim ulama ( orang-orang yang soleh ) dan dengarlah kata-kata
hikmah dari mereka. Sesungguhnya Allah SWT akan menghidupkan hati
yang mati dengan cahaya hikmah sebagaimana Allah menghidupkan bumi
dengan siraman hujan yang lebat ”.
Berkata seorang hukama’ : “ Sesungguhnya Allah SWT mempunyai sebuah
kebun di atas dunia ini, barangsiapa yang masuk ke dalamnya maka
bahagialah hidupnya. Kemudian ditanya padanya: “apakah kebun itu?,
lantas dijawab bahawa kebun itu adalah majlis-majlis ilmu (
mengingati Allah ).
Begitulah di antara penawar-penawar yang digariskan oleh ulama bagi
mengubati hati-hati kita dari segala penyakit yang menyebabkan gerak
geri yang dipertontonkan oleh kita melencong ke arah kemurkaan Allah
SWT. Mudah - mudahan kita digolongkan dikalangan hamba-hambanya yang
sentiasa dalam keadaan hati bersih dari segala penyakit-penyakit
yang menyebabkan kita lalai mengingati Allah SWT.
Mohd Haris b. Hairun Paezi
26
Jun 2008
kembali ke laman Dari Pena
|